Insiden kepala air: Rondaan 26km dilaksana di Sungai Klang

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

KUALA LUMPUR: Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menjalankan rondaan sepanjang 26 kilometer bagi menjejaki seorang lelaki yang dilaporkan hanyut di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata pasukan SAR dibahagikan kepada 13 kumpulan kecil, masing-masing menjalankan pemeriksaan di tebing sungai.

“Secara berjalan kaki untuk membuat surveillance dan juga mencari di tebing-tebing sungai kerana dipercayai pada hari kejadian itu air tinggi.

“Bila air surut, kemungkinan mangsa tersangkut di mana-mana di tebing sungai, jadi hari ini kita telah jalankan pemeriksaan sehingga ke kawasan perangkap sampah di Puchong,” katanya pada sidang media di kawasan operasi, hari ini.

Sazalee berkata, operasi turut digerakkan menggunakan empat bot dan beberapa kayak bagi pemantauan di permukaan air.

Menurutnya, pencarian turut menggunakan dron, manakala Unit K9 milik PDRM dan JBPM juga dikerahkan bagi memperluas skop pencarian.

Katanya, sehingga kini tiada petunjuk signifikan ditemui untuk mengecilkan kawasan pencarian dan mangsa masih belum ditemukan.

“SAR diteruskan sehingga 7 malam tertakluk kepada keadaan cuaca, dan akan disambung semula esok jika mangsa masih gagal dikesan,” jelasnya.

Difahamkan, mangsa ialah warga tempatan dikenali sebagai K Suresh, 37, yang bekerja sebagai penyelia tapak pembinaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang pada 17 November lalu, mangsa bersama 12 pekerja pembinaan dihanyutkan arus deras Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma.

Bagaimanapun, 12 pekerja berjaya diselamatkan, sementara mangsa masih belum ditemui.

Scroll to Top