Inspektor Sheila Didakwa Lagi Atas Tuduhan Halang Tugas Anggota Polis

Pegawai polis dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ didakwa lagi di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menghalang tugas anggota polis di hadapan sebuah restoran, minggu lepas.

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) — Seorang pegawai polis dikenali sebagai “Inspektor Sheila”, didakwa lagi di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menghalang tugas anggota polis di hadapan sebuah restoran, minggu lepas.

Inspektor Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Wanita itu didakwa telah dengan sengaja menghalang pegawai polis iaitu Lans Koperal Malvinderjit Singh Teerath Singh, 37, daripada menjalankan tugasnya meronda cegah jenayah di hadapan sebuah restoran di Jalan Sultan Azlan Shah, Dang Wangi di sini antara 8.15 malam sehingga 8.30 malam, 4 Nov.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin, namun Peguam  M. Manoharan yang mewakili Sheila memohon jaminan RM500 dengan alasan anak guamnya merupakan penjawat awam dan telah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia selama sembilan tahun.

Majistret Aina Azahra Arifin membenarkan wanita itu diikat jamin RM6,600 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Jan 2026 untuk sebutan kes.

Semasa polis membawa Sheila ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan berkenaan, dia yang memakai blaus dan skirt berwarna merah jambu dilihat tersenyum sambil menegur media, namun mempersoalkan media yang mengambil gambarnya dan menegaskan ia perlu mendapat kebenarannya.

Media sebelum ini melaporkan pada kejadian 4 Nov, wanita berkenaan telah menuduh anggota bertugas tidak mengetahui undang-undang dan memperlekeh tindakan pihak polis, selain mendakwa anggota berkenaan mengugut warga asing terbabit.

Terdahulu, tular video dimuat naik wanita itu di laman sosial mendakwa anggota polis berkenaan mengugut seorang warga Pakistan yang menunggang motosikal.

Inspektor Sheila telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023, berhubung beberapa kes antaranya menghina seorang anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

Scroll to Top