Israel, Hamas mula rundingan gencatan senjata di Mesir

Dunia

KAHERAH: Delegasi dari Hamas, Israel dan Amerika Syarikat (AS) memulakan rundingan di Mesir pada Isnin bagi membincangkan pelan gencatan senjata yang diusulkan Presiden AS, Donald Trump, bagi menamatkan hampir dua tahun perang di Gaza.

Kedua-dua pihak telah memberikan maklum balas positif terhadap cadangan Trump yang merangkumi penghentian pertempuran serta pertukaran tahanan.

Menurut pelan Trump, Hamas perlu dilucut senjata dan Israel akan berundur sepenuhnya dari Semenanjung Gaza.

Difahamkan, rundingan sebelum ini tertangguh berikutan perbezaan senarai nama tahanan Palestin yang diminta Hamas untuk dibebaskan.

Ketua perunding Hamas, Khalil al-Hayya yang terselamat daripada serangan udara Israel di Doha bulan lalu, dijadual bertemu perantara dari Mesir dan Qatar di Kaherah, sebelum rundingan utama berlangsung di Sharm El-Sheikh.

Rundingan akan diadakan secara tertutup dengan kawalan keselamatan ketat, melibatkan usaha diplomatik berulang-alik antara kedua-dua pihak.

“Perbincangan akan menumpukan pada penetapan tarikh gencatan sementara serta pelaksanaan fasa pertama pelan itu, yang melibatkan pembebasan 47 tebusan di Gaza sebagai pertukaran dengan ratusan tahanan Palestin,” kata seorang pegawai Hamas kepada AFP. – AFP

Scroll to Top