Nasional

KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan komitmen untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara yang adil dan bertanggungjawab dalam membantu Thailand dan Kemboja menyelesaikan isu berkaitan sempadan yang berlarutan antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia kekal tegas dalam memastikan keamanan serantau diperkukuh, sekali gus menyumbang kepada kestabilan Asia Tenggara.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar bekata beliau hari ini berhubung dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet bagi mendapatkan perkembangan terkini berkaitan isu berkenaan.
“Dalam perbincangan tersebut, saya menghargai setulusnya pendekatan yang matang yang diambil pihak Kemboja yang terus memilih jalan damai serta memberi keutamaan pada penyelesaian melalui perundingan dan dialog yang sihat,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia tentunya mendukung sepenuhnya pendirian Kemboja untuk menggunakan saluran yang telah disepakati bersama sebelum ini dan menyemangati Perjanjian Damai Kuala Lumpur bertarikh 26 Oktober 2025 sebagai landasan untuk menamatkan pertikaian yang berlarutan.
“Prinsip ini penting bagi memastikan sebarang perbedaan didepani dengan tenang, tersusun dan berasaskan persefahaman serantau,” katanya.

