Sebuah lubang benam terbentuk di Jalan Dato Ismail Hashim, Sungai Ara, Bayan Lepas sehingga menyebabkan laluan berkenaan ditutup sementara.
GEORGE TOWN, 10 Nov (Bernama) — Indah Water Konsortium (IWK) sedang menjalankan kerja-kerja pengorekan termasuk ‘melindungi tanah’ di Jalan Dato Ismail Hashim, Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini susulan kejadian lubang benam pada 4 Nov lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata kerja-kerja itu melibatkan pengorekan sedalam lapan meter bagi mengenal pasti jika terdapat paip syarikat utiliti itu yang bocor sehingga menyebabkan pergerakan air dan berlaku lubang benam itu.
“Setakat hari ini, kedalaman pengorekan telah mencapai enam meter dan sebagai langkah berjaga-jaga, pihak IWK turut menutup operasi saluran paip kumbahan di jalan itu dan telah melencongkan alirannya ke paip kumbahan berhampiran.
“Ia bagi memastikan keselamatan kerja dan kelancaran sistem kumbahan di kawasan berkenaan, tumpuan usaha kita sekarang ini adalah untuk mencari punca kejadian paip bocor sehingga berlaku kejadian lubang benam itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata pihak IWK juga telah memohon kepada Jabatan Kerja Raya daerah Barata Daya untuk melanjutkan penutupan jalan sehingga 18 Nov ini berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu yang menyebabkan kelewatan kerja di tapak.
Zairil berkata semua pengguna jalan raya dan penduduk setempat diminta untuk bersabar dan berhati-hati sepanjang tempoh itu.
“Setakat ini kami telah mengambil beberapa langkah mitigasi untuk menahan daripada pergerakan dan pembesaran lubang benam itu serta kawasan berhampiran situ juga selamat kerana tindakan langkah mitigasi berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kejadian lubang benam yang terbentuk di Jalan Dato Ismail Hashim itu dipercayai berpunca akibat paip bocor sehingga berlaku kebocoran air yang terdapat di bawah tanah di kawasan berkenaan.
Terdahulu, tular di media sosial menunjukkan sebuah lubang benam berhampiran persimpangan jalan, sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap risiko keselamatan di kawasan berkenaan.
Lubang benam yang terbentuk di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ara itu berukuran 5 meter (m) panjang dan 3.5m lebar serta berdiameter 1.9m.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

