Izzat Shameer bermula mantap acara individu

Sukan

Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin

BUKIT KIARA: Bekas pemegang ranking satu dunia Izzat Shameer Dzulkeple menutup hari pertama saingan individu dengan cemerlang apabila memenangi dua perlawanan terawal.

Atlet berusia 42 tahun itu bermula dengan kejayaan menewaskan Corey Wedlock dari Australia menerusi catatan 6-6, 10-1.

Izzat kemudian membuat kebangkitan dramatik mengecewakan Finbar McGuigan 2-1 di sebelah petang.

Tewas tipis 5-6 di permainan pertama, sandaran negara itu mematahkan momentum lawan dari New Zealand 8-6 end kedua sebelum melengkapkan kemenangan mendebarkan 1-0 di tie break.

Rekod mantap itu meletakkannya di posisi teratas carta kumpulan empat dalam buruan ke suku akhir berbaki tiga lagi perlawanan esok.

Sementara itu, laluan berliku diharungi Emma Firyana Saroji/ Nurul Alyani Jamil dalam acara berpasangan wanita.

Mereka menewaskan India 2-0 (5-4, 5-4) dalam aksi pertama, namun gagal meneruskan momentum sama.

Malaysia tumpas kepada Kanada 1-2 (6-3, 4-5, 0-2) sebelum sekali lagi dihampakan ranking satu dunia New Zealand 1-2 (3-2, 1-9, 0-1).

Baki dua perlawanan esok menentang Afrika Selatan dan Wales akan menentukan nasib merebut dua tempat teratas kumpulan yang ditawarkan slot ke separuh akhir.

Scroll to Top