Jabatan Perikanan Kenal Pasti Pelancong Ganggu Penyu

KUALA TERENGGANU, 15 Okt (Bernama) — Jabatan Perikanan Terengganu telah mengenal pasti sekumpulan pelancong yang mengganggu dan mengasari penyu ketika aktiviti selam snorkel di Pulau Redang, yang tular di media sosial baru-baru ini.

Pengarah Perikanan Negeri Terengganu Pang Nyukang berkata hasil siasatan mendapati perbuatan itu dilakukan pelancong asing yang menginap di sebuah resort di Pulau Redang, namun mereka didapati telah meninggalkan negara ini pada 10 Okt lepas.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada beberapa pihak pada 9 Okt selepas video berkenaan tersebar di aplikasi media sosial.

“Pihak jabatan berjaya mengenal pasti individu-individu berkenaan selepas meneliti rakaman video dan membuat pengecaman resort berdasarkan jaket yang dipakai pada waktu kejadian.

“Namun hasil siasatan dengan pemilik resort mendapati tiada trip ke taman laut pada waktu kejadian. Oleh itu, kita sedang menjejaki bot luar yang membawa pelancong berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sebelum ini tular video berdurasi 27 saat memaparkan sekumpulan pelancong mengganggu dan mengasari penyu ketika aktiviti selam snorkel, dipercayai di Pulau Redang.

Sementara itu, Pang turut mengingatkan semua pelancong agar tidak mengganggu dan mengusik penyu kerana boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 27 Akta Perikanan 1985.

Beliau berkata pihaknya telah menjalankan lapan sesi libat urus bersama komuniti pulau, operator bot pelancong, pemilik resort dan pengusaha perkhidmatan selam skuba pada tahun ini bagi memberi penerangan berkaitan garis panduan dan peraturan berkaitan.

Sementara itu, Pang memaklumkan kesemua 13 taman laut di Terengganu akan ditutup bermula 1 Nov ini hingga 28 Feb 2026 berikutan musim Monsun Timur Laut (MTL).

 — BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

Scroll to Top