Jabatan Perikanan Terengganu Siasat Video Pelancong Ganggu Penyu – Exco

KUALA TERENGGANU, 14 Okt (Bernama) — Kerajaan Terengganu bekerjasama dengan Jabatan Perikanan negeri bagi menjalankan siasatan berhubung video sekumpulan pelancong mengganggu dan mengasari penyu ketika aktiviti selam snorkel di Pulau Redang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata pihak Jabatan Perikanan sedang memeriksa setiap hantaran klip video yang dimuat naik menerusi laman sosial bagi mengenal pasti pemilik akaun untuk tindakan selanjutnya.

 Bagaimanapun beliau berkata setakat ini maklumat sahih berkenaan video terbabit belum diperoleh dan masih dalam siasatan.

“Kerajaan negeri dimaklumkan Jabatan Perikanan Terengganu telah menerima laporan berkaitan insiden itu daripada orang awam. Sekarang belum ada maklumat sahih… pihak jabatan sedang periksa dan teliti setiap hantaran video untuk tindakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pihaknya memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pelancong yang bukan sahaja mengganggu, malah cuba mencederakan penyu. 

Razali berkata pihaknya juga akan mengambil langkah proaktif termasuk mewujudkan lesen pemandu aktiviti selam snorkel bagi memastikan setiap peraturan dan garis panduan dipatuhi.

“Perbuatan tersebut (mengganggu penyu) menyalahi peraturan dan boleh menyebabkan penyu merajuk serta tidak datang lagi ke Pulau Redang pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata kepupusan penyu bukan sahaja akan menjejaskan industri pelancongan Terengganu, malah merugikan generasi akan datang.

Semalam tular video berdurasi 27 saat memaparkan sekumpulan pelancong memegang dan mengganggu penyu dipercayai di Pulau Redang ketika aktiviti selam snorkel. 

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

Scroll to Top