Nasional

Oleh: Paya Linda Yahya
GUA MUSANG: Satu runtuhan baharu dilaporkan berlaku di Kilometer 11.95 Jalan Gua Musang-Jeli sehingga menyebabkan jalan terbabit ditutup sementara kepada semua kenderaan.
Difahamkan, jalan terbabit ditutup bermula jam 7 malam tadi bagi membolehkan kerja penggantian pembentung melalui kaedah paip jek.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima makluman tentang kejadian berlaku kira-kira jam 7.48 malam.
Katanya, anggota peronda bertindak mengawal lalul intas dan keadaan cuaca ketika itu masih cerah.
“Anggota bertugas memaklumkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak Konsesi Roadcare untuk penutupan jalan dan pemasangan tanda amaran.
“Kejadian berlaku berpunca dari terdapat pergerakan runtuhan pada permukaan jalan. Ketika ini jalan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, tiada kemalangan jiwa dan kerosakan dilaporkan dan pemantauan terus dilakukan bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya.
Sementara itu, JKR melalui kenyataannya memaklumkan penutupan ini bermula hari ini sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
“Kerja penggantian pembetung menggunakan kaedah pemasangan paip menggunakan jek sedang dijalankan di lokasi dengan kemajuan tapak sebanyak 60 peratus.
“Pengguna dinasihatkan menggunakan jalan alternatif Gua Musang-Sungai Asap-Bertam-Meranto-Jeli atau laluan Gua Musang-Sungai Sam-Jeli,” menurut kenyataan itu.

