Jangan Halang Tugas Penjawat Awam Di Lapangan – RELA

JOHOR BAHRU, 6 Nov (Bernama) — Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengingatkan orang ramai agar menghormati setiap penjawat awam yang menjalankan tugas di lapangan, termasuk anggota RELA.

Dalam kenyataan hari ini RELA memaklumkan setiap anggota pasukan itu merupakan penjawat awam yang menjalankan tugas rasmi di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan.

“Justeru sebarang tindakan menghalang, mengugut atau menengking mereka ketika bertugas boleh disiasat mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.  

Kenyataan itu susulan insiden tular membabitkan seorang anggota RELA yang ditegur secara kasar oleh orang awam di Terminal Bas Johor Bahru Sentral, Bangunan Sultan Iskandar, baru-baru ini.

RELA memaklumkan kejadian pada Selasa lepas itu berlaku ketika anggota berkenaan sedang membantu mengawal kelancaran pergerakan orang awam dan keselamatan di kawasan terminal berkenaan.

Anggota terbabit telah ditegur secara kasar oleh seorang individu yang tidak berpuas hati selepas diminta mematuhi laluan ditetapkan ketika ingin menggunakan perkhidmatan bas. 

Dalam pada itu, jabatan itu turut menzahirkan penghargaan kepada anggota berkenaan yang kekal berhemah dan profesional ketika berdepan situasi tegang tanpa sebarang provokasi.

“Bagi mengekalkan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan di lapangan, latihan serta bimbingan berterusan akan terus diberikan kepada semua anggota,” menurut RELA.  

Semalam, polis memaklumkan menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang didakwa terlibat dalam insiden berkenaan

Terdahulu, tular di laman sosial video berdurasi 58 saat memaparkan seorang lelaki bertindak menengking anggota RELA yang dipercayai warga emas yang memberi arahan ketika sedang bertugas.

Insiden itu turut memaparkan seorang wanita cuba menenangkan lelaki itu dan video tersebut mengundang pelbagai komen yang bersimpati terhadap anggota RELA terbabit.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

Scroll to Top