Jangan jadikan universiti pentas politik, medan tabur fitnah – Sultan Kedah

Nasional

Oleh: Noorazura Abdul Rahman

SINTOK: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah institusi pengajian tinggi di negara ini tidak dijadikan pentas berpolitik atau medan menabur fitnah.

Baginda bertitah, institusi pengajian tinggi adalah tempat pelajar menimba ilmu dan melahirkan insan berilmu dan bukannya menjadi medan perpecahan.

“Andai ilmu dijadikan alat untuk berpolitik dan fitnah, ia akan memusnahkan kepercayaan rakyat serta merencatkan masa depan generasi akan datang,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Mu’adzam Shah di sini, hari ini.

Sultan Sallehuddin yang juga Canselor UUM menyeru semua pihak supaya bersatu dalam memastikan IPT di negara ini kekal berintegriti dan berpaksikan kebenaran.

“Universiti harus menjadi jambatan perpaduan, bukan tembok perpecahan,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sallehuddin menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian UUM yang kini berada di tangga ke-491 terbaik dunia dan unggul dalam bidang Pendidikan Berkualiti serta Inovasi.

Baginda turut mengimbas sejarah tanah Sintok yang dahulunya medan perjuangan mempertahankan kedaulatan, kini berubah menjadi tanah subur melahirkan pejuang ilmu.

“Inilah erti kemerdekaan sebenar apabila ilmu menjadi benteng dan pendidikan menjadi senjata untuk kemajuan bangsa,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada 6,832 graduan yang menerima ijazah masing-masing dalam sembilan sesi konvokesyen bermula hari ini hingga 13 November depan.

Sultan Sallehuddin menasihatkan para graduan supaya menggunakan ilmu dengan kebijaksanaan serta menjadi individu yang membina dan menyatukan masyarakat.

“Peliharalah ilmu dengan keikhlasan agar ia dapat digunakan untuk memperindah kehidupan insan lain,” titah baginda.

Scroll to Top