Oleh: Zulfaizan Mansor
KUALA LUMPUR: Meledak seberapa banyak gol yang boleh antara harapan pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski bagi aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.
Pengendali dari Australia itu menjelaskan fokus pasukannya ketika ini adalah memperkemaskan corak permainan termasuk jentera serangan bagi memastikan penyudah lebih berkesan dapat dilakukan Harimau Malaya dalam aksi keempat Kumpulan F itu.
Mengimbas kemenangan 3-0 ke atas Laos di Vientiane, Khamis lalu, beliau mengakui Harimau Malaya sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol berdasarkan peluang yang mereka cipta dalam perlawanan itu.
“Kami memberi tumpuan untuk memperbaiki sebagai satu pasukan supaya lebih mengancam dan berkesan. Namun, yang lebih penting, kami menumpukan kepada prestasi pasukan secara keseluruhan untuk membawa kami ke tahap terbaik.
“Ia (penyudah) sesuatu yang kami boleh perbaiki daripada perlawanan tempoh hari dan kami akan terus membina aspek itu dalam permainan kami. Kami tidak sabar untuk mencabar diri malam esok.
“Kami berharap dapat menjaringkan sebanyak mungkin gol buat semua orang bersorak untuk pasukan Harimau Malaya,” kata Cklamovski pada sidang media di Stadium, Nasional, hari ini.
Selain itu, Cklamovski masih belum dapat memberi pengesahan sama ada pemain naturalisasi, Jordan Mintah boleh diturunkan atau tidak untuk perlawanan malam esok.
“Saya masih belum dapat memberikan sebarang perkembangan. Tiada maklumat diberikan kepada saya berkenaan kelulusannya, ia berkaitan dengan urusan dokumentasi dalam proses lima tahunnya.
“Apabila dia sudah layak dan bersedia, barulah saya boleh maklumkan sama ada dia akan disenaraikan dalam pasukan atau tidak,” katanya.