JIM tahan lelaki tempatan disyaki terlibat ‘counter setting’

Oleh: Asyiha Ariffin

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai ‘carrier’, dengan membawa masuk seorang lelaki warga Saint Kitts and Nevis bersama seorang lagi perempuan warga China.

Pergerakan itu dikatakan dibuat dalam keadaan yang tidak teratur dan dipercayai melibatkan unsur sindiket ‘counter setting’ di Lapangan Terbang Antarabangsa, Terminal 2, (KLIA 2) semalam.

Tangkapan itu dibuat menerusi operasi khas yang bermula pada jam 6.40 petang terdiri daripada pasukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, pihaknya juga telah merampas tiga pasport milik kesemua individu berkenaan termasuk cap keselamatan Imigresen, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM23,100.

Kesemua mereka yang ditahan berusia lingkungan 25 hingga 34 tahun dan hasil siasatan mendapati kedua-dua warga asing itu memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang sah.

“Modus operandi yang digunakan adalah, ‘carrier’ yang merupakan warganegara Malaysia akan membawa migran ke kaunter yang telah ditetapkan untuk memudahkan migran melepasi kaunter pemeriksaan.

” ‘Carrier’ akan memberi arahan kepada migran berkaitan laluan yang akan digunakan ke kaunter yang telah di ‘setting’ berserta lakaran atau gambaran kedudukan kaunter yang akan digunakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, perbuatan itu juga didakwa sudah diketahui oleh pegawai tertentu yang berada di kaunter berkenaan menerusi komunikasi dalaman yang telah dibuat antara kedua-dua pihak.

“Pegawai yang bertugas di kaunter pemeriksaan disyaki terlibat dengan mengetahui lebih awal pergerakan masuk migran melalui aplikasi Whatsapp apabila ‘carrier’.

“Mereka menghantar gambar pakaian yang dipakai oleh migran bagi memudahkan pegawai mengenalpasti migran yang ingin dilepaskan.

” ‘Carrier’ akan memerhati dari jauh pergerakan migran melepasi kaunter sebelum dia bergerak ke kaunter pemeriksaan lain setelah migran berjaya melepasi pemeriksaan,” katanya lagi.

Selesai kesemua proses pemeriksaan, mereka bertiga dikatakan bertemu semula di pintu balai ketibaan KLIA 2 selain menggunakan isyarat tertentu bagi mengaburi pihak berkuasa.

Kejayaan tangkapan itu dibuat hasil daripada aktiviti risikan yang telah dijalankan selama dua minggu dan sindiket dipercayai mula bergiat aktif sejak tiga bulan lalu.

Suspek warga tempatan itu disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 manakala dua lagi individu warga asing itu disiasat mengikut Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63.

Scroll to Top