Jimmy-Pei Jing naib juara lagi

Sukan

Foto FB BAM

Oleh: Khairil S Iswan

KUALA LUMPUR: Hasrat beregu campuran profesional negara, Jimmy Wong-Lai Pei Jing menamatkan kemarau kejuaraan musim ini tidak kesampaian apabila tewas di perlawanan akhir Masters Korea, hari ini.

Dalam pertarungan selama 58 minit di Iksan, gandingan ranking ke-37 dunia itu akur kepada semangat juang tinggi pasangan tuan rumah, Kim Jae Hyeon-Jeong Na Eun apabila tumpas 22-24, 18-21.

Kekalahan pada kejohanan berstatus Super 300 BWF itu adalah yang ketujuh buat Jimmy-Pei Jing di pentas final musim ini.

Pada set pertama, pasangan negara pada satu ketika ketinggalan 11-17 sebelum menampilkan kebangkitan untuk mengejar dan terlebih dahulu mendapatkan mata akhir sebelum lawan mengikat kedudukan 20-20.

Meskipun mendahului 21-20 dan kemudian 22-21, beberapa siri kesilapan termasuk pukulan balas Jimmy yang tersangkut di jaring pada saat genting memberikan mata kemenangan kepada lawan 24-22.

Pada set kedua, Kim-Jeong Na Eun yang mendapat sokongan padu penonton bermula garang mendahului 3-0 dan terus menjarakkan kedudukan kepada 5-1 dan 7-3.

Enggan mengalah, Jimmy-Pei Jing bangkit menyamakan kedudukan 7-7 sebelum mengambil alih permainan untuk mendahului 8-7 dan selesa sehingga 11-7 yang diperoleh pukulan-pukulan ‘drop’ mengelirukan daripada Jimmy.

Kelebihan itu dikekalkan sehingga 13-10 sebelum lawan kembali menemui rentak mereka, mengejar dan mendahului 14-13, 17-13 sebelum menang 21-18.

Sebagai naib juara, Jimmy-Pei Jing membawa pulang hadiah wang tunai AS$9,120 (RM38,090) manakala Jae Hyeon-Na Eun meraih AS$18,960 (RM79,188).

Scroll to Top