Jong-un kerah ‘aset khas’ ketenteraan ke Korea Selatan

SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, mengerahkan aset khas sebagai tindak balas kepada apa yang disifatkan sebagai peningkatan penempatan senjata Washington di Korea Selatan.

Media kerajaan Korea Utara melaporkan tindakan itu dibuat susulan Amerika Syarikat (AS) menempatkan kira-kira 28,500 tenteranya di Korea Selatan bagi menangkis ancaman ketenteraan dari Korea Utara.

Bulan lalu, AS mengadakan latihan ketenteraan bersama dengan sekutu keselamatannya, Korea Selatan dan Jepun.

Pyongyang mengecam latihan itu sebagai persediaan untuk pencerobohan, manakala sekutu AS menegaskan bahawa latihan itu bersifat pertahanan.

“Pakatan nuklear AS-Korea Selatan sedang berjalan pantas, dan mereka sedang menjalankan pelbagai jenis latihan untuk melaksanakan senario berbahaya,” kata Kim Jong-n dalam ucapannya semasa pembukaan pameran senjata di Pyongyang pada Sabtu.

Ucapan itu disiarkan oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

“Sejajar dengan penambahan senjata tentera AS di rantau Korea Selatan, kebimbangan strategik kami terhadap wilayah ini juga meningkat, dan sewajarnya kami telah menyasarkan aset khas kami terhadap sasaran utama,” katanya.

Jong-un menambah, beliau memerhati dengan teliti perkembangan ketenteraan di seberang sempadan.

“Musuh… perlu bimbang mengenai arah mana persekitaran keselamatan mereka bergerak,” katanya tanpa memperincikan apa yang dimaksudkan dengan aset khas itu.

Gambar yang dikeluarkan oleh KCNA menunjukkan Kim berjalan melintasi deretan senjata, termasuk peluru berpandu, dikelilingi oleh jeneral Korea Utara di pusat pameran tertutup.

Bulan lalu, Kim berkata beliau terbuka untuk berunding dengan AS. Beliau turut menyatakan mempunyai kenangan indah dengan Presiden AS, Donald Trump, ketika penggal pertamanya, dengan syarat negaranya tidak melepaskan hak membangunkan senjata nuklearnya.

Jong-un bertemu Trump sebanyak tiga kali untuk sidang kemuncak berprofil tinggi semasa penggal pertama Trump.

Namun, rundingan itu gagal di Hanoi pada 2019 kerana kegagalan mencapai persetujuan mengenai konsesi yang Pyongyang sanggup berikan terhadap senjata nuklearnya.

Tuntutan AS agar Kim melucutkan senjata terlarang miliknya telah lama menjadi titik pertikaian utama antara kedua-dua negara.

Pyongyang pula dikenakan sekatan berterusan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung program nuklear dan peluru berpandunya.

Sejak kegagalan sidang kemuncak 2019, Korea Utara berulang kali menyatakan ia tidak akan melepaskan senjata atomnya dan mengisytiharkan dirinya sebagai negara nuklear yang tidak dapat diubah. — AFP

Scroll to Top