
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak terpedaya dengan iklan di media sosial yang menawarkan lesen memandu percuma tanpa ujian menggunakan nama serta lambang rasmi jabatan itu.
JPJ dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima aduan berhubung iklan palsu berkenaan yang dimuat naik menerusi satu akaun TikTok.
“Iklan itu mempromosikan pemilikan lesen memandu tanpa ujian dengan menggunakan nama dan gambar rasmi jabatan, tindakan tersebut bertujuan memancing keyakinan orang ramai,” katanya.
JPJ berkata, iklan dan akaun itu disahkan palsu serta menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan penyebaran promosi menerusi akaun tidak sah.
“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya akan penyebaran promosi menerusi iklan atau akaun yang tidak sah seperti ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan kerugian,” katanya.
Menurut JPJ, orang ramai juga digalakkan merujuk atau menghubungi jabatan itu terlebih dahulu untuk mendapatkan pengesahan maklumat menerusi Portal Aduan Rasmi JPJ https://jpj.spab.gov.my.

