JSJ Bukit Aman ambil alih siasatan kes 3 suspek ditembak mati di Melaka

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar. Foto fail NSTP

Oleh: Noor Hidayah Tanzizi

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengambil alih siasatan kes tiga suspek yang ditembak mati selepas mencederakan anggota polis dalam kejadian di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November lalu.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, pihak JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan berhubung kejadian itu.

Katanya, pihaknya turut menerima laporan polis yang dibuat oleh ahli keluarga ketiga-tiga suspek terbabit kerana tidak berpuas hati terhadap tindakan dilakukan oleh polis dalam kejadian berkenaan, hari ini.

“JSJ Bukit Aman memandang serius perkara ini dan memberi jaminan bahawa siasatan secara telus, adil dan profesional akan dijalankan berdasarkan undang-undang sedia ada bagi memastikan keadilan ditegakkan.

“Justeru, pasukan khas ditubuhkan di peringkat JSJ Bukit Aman untuk mengambil alih sepenuhnya siasatan berkenaan termasuk menyiasat laporan polis yang dibuat oleh ahli keluarga tiga suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kumar berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau memanipulasikan fakta yang berpotensi mengganggu atau menjejaskan integriti siasat yang sedang dijalankan.

“Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh menyalurkannya kepada JSJ Bukit Aman melalui hotline di talian 019-376 4763,” katanya.

Hari ini sebuah portal melaporkan, peguam mewakili keluarga tiga lelaki yang ditembak mati oleh polis di Durian Tunggal, Melaka bulan lalu menuntut Bukit Aman menyiasat kematian berkenaan, mendakwa mangsa dibunuh ‘execution style’ berdasarkan bukti audio dan forensik.

Terdahulu media melaporkan, tiga penjenayah samun paling dikehendaki ditembak mati selepas menyerang anggota polis ketika cuba ditahan dalam operasi di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar dipetik berkata, ketiga-tiga suspek penyamun itu ditembak mati oleh sepasukan polis selepas bertindak menetak seorang koperal yang cuba menahan mereka dalam kejadian jam 4 pagi.

Beliau dilaporkan berkata, suspek bersenjatakan parang panjang itu terdiri daripada dua lelaki berusia 24 tahun dan seorang berusia 29 tahun dikenali Geng DT.

Katanya, seorang anggota polis mengalami kecederaan serius iaitu ditetak di tangan kiri dan hampir meragut nyawanya.

Polis tiada pilihan dan terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri dan ketiga-tiga suspek mati di tempat kejadian.

Scroll to Top