SEOUL, 24 Sept (Bernama-Yonhap) — Samyang Foods Inc. pada Rabu memaklumkan jualan terkumpul siri mi segera pedas popularnya, Buldak, telah melepasi lapan bilion unit pada separuh pertama 2025 susulan permintaan global yang meningkat, lapor Agensi Berita Yonhap.
Menurut syarikat itu, jualan jenama Buldak melonjak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mencecah lima bilion unit pada 2023, tujuh bilion pada 2024 dan lapan bilion hanya dalam enam bulan pertama tahun ini.
Dilancarkan pada 2012, mi segera pedas itu kini dijual di kira-kira 100 negara termasuk Amerika Syarikat, China, Eropah dan Asia Tenggara.
Produk berkenaan mula mendapat perhatian global selepas tahap kepedasannya yang ekstrem tular melalui cabaran makan pada 2014.
Samyang Foods berkata daya tarikan kukuh Buldak bukan sahaja datang daripada rasanya yang pedas tetapi juga daripada usaha penyesuaian syarikat itu mengikut cita rasa serantau.
Bagi memenuhi permintaan luar negara yang semakin meningkat, Samyang Foods merancang menyiapkan pembinaan kilang pengeluaran pertamanya di luar negara iaitu di China pada 2027.
Hasil daripada fenomena Buldak, jualan Samyang Foods melonjak 33.6 peratus tahun ke tahun kepada 1.08 trilion won (US$774.2 juta) pada separuh pertama 2025, dengan keuntungan bersih berjumlah 183 bilion won.
— BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial