
ALOR GAJAH: Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang terjatuh ke dalam longkang, ketika hujan lebat di Taman Bidara Permai, Masjid Tanah, di sini, petang tadi, ditemui lemas.
Ia disahkan Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli.
Mayat mangsa ditemui tersangkut pada sebatang pokok, jam 8.35 malam tadi.
Dalam kejadian jam 5.40 petang itu, mangsa dipercayai tergelincir, sebelum dihanyutkan arus deras menuju ke kawasan tadahan air berdekatan.
Terdahulu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.47 petang.
Sepasukan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah dikerahkan ke lokasi dan tiba pada jam 6 petang untuk operasi mencari dan menyelemat (SAR).

