Kane terus lakar rekod di Bundesliga

Sukan

FRANKFURT: Harry Kane terus membuktikan ketajamannya apabila menjaringkan satu gol dan mencipta rekod baharu Bundesliga ketika Bayern Munich menewaskan Eintracht Frankfurt 3-0 dalam aksi liga di Deutsche Bank Park.

Penyerang England itu meledak gol ke-11 liga musim ini pada minit ke-27, sekali gus menjadi pemain pertama dalam sejarah Bundesliga menjaringkan 11 gol selepas hanya enam perlawanan.

Secara keseluruhan, Kane kini mengumpul 18 gol dalam 10 perlawanan di semua kejohanan musim ini.

Luis Diaz turut cemerlang apabila menjaringkan dua gol untuk Bayern, yang kini menerajui carta Bundesliga dengan 18 mata, empat mata di depan Borussia Dortmund yang sekadar seri 1-1 menentang RB Leipzig.

Anak buah Vincent Kompany, yang sebelum ini membelasah Pafos 5-1 dalam saingan Liga Juara-Juara, bermula pantas dan hanya memerlukan 15 saat untuk membuka jaringan menerusi sentuhan Diaz.

Kedua-dua pasukan saling membalas serangan di awal permainan, namun jaringan kedua Bayern hadir apabila Kane bijak mencari ruang di luar kotak penalti dan melepaskan rembatan rendah menewaskan penjaga gol Frankfurt.

Frankfurt gagal bangkit selepas itu dan terus ditekan walaupun Bayern mengendurkan tempo permainan pada separuh masa kedua.

Diaz melengkapkan malam gemilangnya dengan gol kedua peribadi pada minit ke-84 hasil kawalan kemas sebelum melepaskan rembatan kencang.

Bayern juga mencipta satu lagi rekod Bundesliga dengan 25 gol selepas enam perlawanan pertama musim ini, mengukuhkan status mereka sebagai pasukan paling berbahaya di Jerman ketika ini. -AGENSI

Scroll to Top