Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Menatal TikTok, bermain permainan video melalui telefon pintar, perbahasan pada layar X dan WhatsApp, bagi rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda, semua aktiviti ini adalah sebahagian daripada kehidupan seharian.
Menerusi dunia maya, kita saling berhubungan dan juga sentiasa meningkatkan kemahiran digital. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, kita sebenarnya memupuk sesuatu yang lebih senyap tetapi kritikal, iaitu kecerdasan emosi digital (Digital Emotional Intelligence – DEI).
Kecerdasan emosi digital boleh didefinisikan sebagai kebolehan untuk memahami, menguruskan dan mengutarakan emosi secara bijaksana semasa berada dalam talian.
DQ Institute menerangkan bahawa kecerdasan digital yang menggabungkan kebolehan sosial, emosi dan kognitif diperlukan untuk menyesuaikan diri dalam ruang digital.
Kebolehan yang dimaksudkan ini termasuklah rasa empati, kesedaran diri dan pengurusan hubungan dalam persekitaran maya.
Dalam erti kata lain, satu kebolehan yang membantu seorang remaja berhenti seketika sebelum menghantar komen yang menyakitkan hati atau satu kebolehan yang memandu seorang ibu atau bapa untuk memberi respon dengan tenang terhadap desas-desus tular dalam kumpulan bual keluarga.
Ancaman Dunia Maya
Di Malaysia, realiti dunia mayanya tidak lagi membenarkan kecerdasan emosi digital sebagai satu kebolehan pilihan.
Kenapa? Ini kerana terlalu banyak insiden yang tidak diingini telah berlaku.
Contohnya, pada tahun 2024, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima sebanyak 8,399 laporan berkaitan buli siber dan boleh dikatakan secara kasarnya, purata 27 aduan diterima setiap hari.
Selain itu, sebanyak 8,765 kandungan berkaitan buli siber telah dikeluarkan dari ruang digital di mana jumlah ini meningkat lima kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Ketahuilah, di sebalik jumlah ini, ada seorang anak kecil atau remaja atau orang dewasa yang diaibkan, diganggu atau diancam dalam ruang layar yang mereka sendiri tidak dapat melepaskan diri.
Di negara kita, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyatakan bahawa pada tahun 2022, sebanyak 8.6 peratus kanak-kanak melaporkan mereka dibuli dan platform atas talian menguatkan lagi ancaman bahaya ini.
UNICEF dan agensi seangkatan dengannya menganggarkan empat peratus anak-anak yang berusia lingkungan 12 hingga 17 tahun, iaitu sekitar 100,000, pernah terlibat dengan eksploitasi atau gangguan seksual atas talian pada tahun lepas.
Ini dapat disimpulkan bahawa isunya bukan setakat isu teknikal, bukan sekadar isu undang-undang tetapi kesan kepada emosi yang mendalam.
Pupuk Kesedaran
Bagi ibu bapa dan para pendidik di Malaysia, kecerdasan emosi digital tidak boleh lagi dianggap elemen kecil dalam pendidikan karakter.
Ia sepatutnya berdiri sama penting dengan kemahiran atau kebolehan lain.
Apabila kecerdasan emosi digital diterapkan, kita membantu anak-anak kita untuk mengenal pasti bentuk hantaran yang memberi kesan kepada emosi sendiri, memahami isyarat emosi dalam teks dan emoji, menguruskan kemarahan dan kekecewaan sebelum memberi respon dan menunjukkan empati digital terutamanya apabila melihat seseorang diancam atau disisihkan.
Dalam Kerangka Kecerdasan Digital, empati digital dan pengurusan hubungan merupakan kecekapan kerakyatan digital yang utama di mana sekolah-sekolah perlu terapkannya dalam kalangan pelajar.
Penggubalan kurikulum, program latihan perguruan dan aktiviti kokurikulum boleh menyesuaikan elemen ini dengan keperluan semasa pendidikan.
Selain itu, SKMM dan rakan strategik telah melancarkan kempen kesedaran berkaitan buli siber dan keselamatan dalam talian.
UNICEF Malaysia juga menekankan sistem perlindungan anak yang mengutamakan kesihatan mental, privasi dan maruah peribadi, terutamanya apabila gambar atau video anak ditularkankan.
Walau bagaimanapun, intervensi yang dilakukan masih berfokus kepada peraturan dan penyaringan. Intervensi sebegini perlu tetapi ianya tidak dapat menggantikan objektif asal kecerdasan emosi digital.
Justeru itu, apa langkah kita seterusnya?
Antaranya, memasukkan kecerdasan emosi digital ke dalam silabus pembelajaran secara jelas. Ianya perlu merentasi semua subjek yang diajar di sekolah.
Seterusnya, latih guru, kaunselor dan ibu bapa untuk memimpin anak-anak walaupun selalunya sukar bagi orang dewasa untuk bergerak seiring dengan kelajuan budaya digital.
Terakhir sekali, reka bentuk platform dan dasar yang menghargai rasa empati, bukan mendukung kemarahan.
Cipta atau wujudkan ruang bersama yang membenarkan kebaikan hati digital yang jelas, mudah difahami dan dipraktikkan.
Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mengerti bahawa kelakuan digital mencerminkan nilai kemanusiaan yang kita ada.
Kecerdasan emosi sentiasa penting bagi kita semua tanpa mengira tempat dan kedudukan.
Ini kerana pada penghujungnya, ukuran perkembangan digital kita yang sebenar bukan terletak pada betapa lajunya capaian Internet tetapi dilihat betapa bijaknya kita, betapa tingginya belas kasihan kita, apabila kita menggunakannya, apabila kita berada dalam dunia maya.
— BERNAMA
Dr Nor Nazrina Mohamad Nazry ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kurikulum & Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.
(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

