Mahkamah

Oleh: Fahiz Ariff
PETALING JAYA: Seorang kelindan lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menipu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun sehingga kerugian RM15,000.
Tertuduh, S. Thanaraj, 32, juga menghadapai pertuduhan lain, memiliki memiliki video dan gambar lucah di dalam telefon bimbitnya jenis Oppo A16 di sebuah kondominium di Bandar Utama, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 23 November lalu.
Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap Thanaraj selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Pertuduhan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.
Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan pertama iaitu menipu seorang remaja.
Mengikut kertas pertuduhan Thanaraj didakwa memperdaya remaja terbabit sehingga menyerahkan set barang kemas terdiri daripada sebentuk cincin emas, sepasang subang, loket dan gelang emas bernilai keseluruhan RM15,000.
Perbuatan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Seksyen 11 Kota Damansara di sini, pada 26 Oktober lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu tahun hingga 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000, namun selepas rayuan pembelaan, jumlah tersebut dikurangkan kepada RM6,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes pada 3 Februari depan bagi serahan dokumen.
Kedua-dua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Leong Hui, manakala tertuduh diwakili peguam Raj Preet Kaur.

