Kementerian Pertahanan senarai veteran GGK terbaik untuk AKPS

Nasional

Oleh: Nur Izzati Mohamad

BUTTERWORTH: Kementerian Pertahanan akan menyenaraikan veteran tentera atau bekas komando daripada skuad elit Grup Gerak Khas (GGK) yang mempunyai keupayaan terbaik untuk diserap ke dalam Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, proses itu sedang dilaksanakan kementeriannya bagi membantu mempertingkatkan kawalan di pintu sempadan negara.

Katanya, pemilihan anggota akan dibuat AKPS tetapi pihaknya akan membantu mengenalpasti tentera yang telah menamatkan perkhidmatan dalam kalangan terbaik dengan meletakkan keutamaan kepada skuad GGK.

“Anggota GGK atau komando ini sememangnya kita sudah tahu mereka mempunyai kemahiran dan disiplin tinggi yang ia sesuai dengan keperluan AKPS.

“Jadi sebab itu keutamaan diberikan kepada mereka tetapi ada juga bekas anggota daripada pasukan elit lain seperti 10 Briged Para yang kita dalam pertimbangan mereka untuk diserap ke dalam AKPS.

“Pemilihan ini akan dibuat AKPS tetapi kita akan membantu menyenaraikan anggota terbaik yang dapat memperkukuhkan kawalan sempadan termasuk juga keselamatan di pintu-pintu masuk utama negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Graduasi dan Peluncuran Program Pemerkasaan Usahawan Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Pangkalan Udara Butterworth, di sini, hari ini.

Terdahulu ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu lalu, Adly memaklumkan bahawa veteran tentera daripada skuad elit GGK akan diserap ke dalam AKPS untuk memperkukuh keupayaan aspek kawalan sempadan negara.

Langkah itu adalah sebahagian daripada pendekatan kerajaan untuk memanfaatkan pengalaman dan kepakaran veteran tentera khususnya membabitkan anggota skuad elit itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 baru-baru ini memaklumkan keutamaan akan diberikan bagi melantik pegawai dalam kalangan veteran tentera untuk memenuhi keperluan 220 tenaga kerja diperlukan AKPS, bagi kesiapsiagaan penuh.

Perkara berkenaan disambut baik Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, yang menyifatkan pengalaman veteran dalam bidang keselamatan dan pertahanan negara amat ditagih pihaknya dalam menjayakan hasrat kerajaan

Scroll to Top