Nik Mohamad Alis Ab Rashid 20, bergambar berlatarbelakangkan papan tanda Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini. –fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Nik Mohamad Alis Ab Rashid 20, ketika mengikuti sesi orientasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini. –fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Nik Mohamad Alis Ab Rashid 20, ketika ditemu bual di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini. – fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Nik Mohamad Alis Ab Rashid 20, (dua,kiri) beramah mesra dengan warga pentadbiran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini. – fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
TANJONG MALIM, 29 Sept (Bernama) – – Kenangan arwah ibu dan ayah bekerja sebagai tukang jahit serta tukang masak mendorong Nik Mohamad Alis Nik Ab Rashid memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Rumah Tangga di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Nik Mohamad Alis, 20, yang menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia tahun lepas menjadi yatim piatu pada usia 17 tahun selepas ayahnya Nik Ab Rashid Nik Jusoh meninggal dunia pada 2021 akibat jangkitan kuman, disusuli ibunya Nik Jah Yusoff setahun kemudian akibat komplikasi kencing manis dan strok.
Sejak itu, Nik Mohamad Alis memilih untuk berdikari dengan menyewa rumah kecil berdekatan Kota Bharu, Kelantan dan menjadi jurulatih silat persatuan dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan.
“Saya pegang pesanan mak untuk menjaga solat sebab Allah sahaja tempat kita bergantung dan meminta selain sentiasa berbuat baik dengan orang serta jangan berkira kerana kita tidak tahu kebaikan mana diterima Allah. Mungkin ada satu kebaikan itu membawa saya sampai ke sini,” katanya.
Nik Mohamad Alis antara 4,063 pelajar baharu mendaftar di UPSI semalam. Kisahnya tular di TikTok sehingga mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk tampil membantu meringankan bebannya melanjutkan pelajaran.
Selain itu, Nik Mohamad Alis berkata pemilihan jurusan di UPSI bukan sekadar pilihan akademik, tetapi mencerminkan kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa yang membesarkannya dengan pekerjaan tersebut, selain cita-cita untuk menjadi guru sehingga menanam impian untuk ke universiti itu sejak tingkatan satu.
Sepanjang hidup bersendirian, Nik Mohamad Alis berkata sentiasa berpegang untuk mencipta semangat sendiri bagi mencapai kejayaan dan bukannya menunggu orang lain memberi semangat.
“Saya dapat semangat ini daripada arwah mak dan ayah. Walaupun susah, mereka tetap berusaha mencari nafkah untuk membesarkan saya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi) UPSI Dr Khalizul Khalid berkata setakat ini Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Pejabat Wakaf, Endowment Zakat dan Sedekah UPSI (WEZAS) telah menyediakan bantuan yuran pendaftaran dan pengajian buat Nik Mohamad Alis.
Beliau berkata UPSI sentiasa memantau media sosial jika terdapat hantaran atau kandungan yang menunjukkan keperluan bantuan terutamanya untuk pelajar universiti itu supaya tindakan pantas dapat dilaksanakan oleh Seksyen Kebajikan dan Perkhidmatan Pelajar (SKPP).
“Bantuan akan dilihat berdasarkan kes dan selain WEZAS dan Unit Zakat UPSI, ada juga tawaran atau sumbangan lain seperti Program Sulung di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberi bantuan kepada pelajar pertama daripada keluarga B40 berjaya memasuki universiti awam,” katanya.
Khalizul berkata pihak universiti juga memantau perkembangan penuntut tersebut sehingga tamat pengajian untuk memastikan mereka berjaya dan mampu berdikari, serta dapat memperoleh pekerjaan yang baik.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial