Kerajaan Fokus Tingkat Liputan Internet Di Tujuh Kawasan Tumpuan

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (tengah) bergambar kenangan dengan para peserta yang hadir pada Majlis Penutupan First Ever Corporate Social Responsibility (CSR) Run Event – Run For The Future 2025 di Hutan Bandar Kulai hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (tengah) bersalaman dengan sebahagian para peserta yang hadir pada Majlis Penutupan First Ever Corporate Social Responsibility (CSR) Run Event – Run For The Future 2025 di Hutan Bandar Kulai hari ini.

KULAI, 5 Okt (Bernama) — Kementerian Komunikasi memberikan tumpuan untuk menambah baik liputan dan kualiti perkhidmatan Internet di tujuh kawasan fokus utama bagi memastikan capaian yang lebih stabil dan menyeluruh kepada pengguna di seluruh negara.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kawasan berkenaan meliputi kawasan acara, institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kem tentera, stadium, kawasan pelancongan, hospital serta lebuh raya dan laluan protokol.

Beliau berkata bagi kawasan acara, sebanyak 17 lokasi dikenal pasti dan semuanya telah siap dinaik taraf sepenuhnya manakala untuk IPTA, selepas sesi perbincangan dan mesyuarat bersama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), sebanyak 81 institusi di seluruh negara telah dikenal pasti bagi pelaksanaan inisiatif berkenaan.

“Sementara itu, bagi kem tentera pula sebanyak 73 kem telah dikenal pasti sebagai persediaan pelaksanaan penambahbaikan liputan Internet dan kini berada pada peringkat proses permohonan cadangan dan untuk kategori stadium, satu lokasi telah siap dinaik taraf manakala dua lagi sedang dalam pelaksanaan.

“Bagi kawasan pelancongan, sebanyak 23 lokasi dikenal pasti memerlukan kerja penambahbaikan dengan enam daripadanya telah siap, hospital pula sebanyak 20 lokasi telah dirancang dengan tujuh daripadanya siap dinaik taraf setakat ini dan akhir sekali, tujuh lokasi lebuh raya dan laluan protokol telah dirancang dan satu daripadanya siap dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Corporate Social Responsibility (CSR) Run Event – Run For The Future 2025 di Hutan Bandar Kulai. 

Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta penyedia perkhidmatan bagi memastikan semua kawasan tumpuan mempunyai capaian Internet yang memuaskan, terutama ketika berlangsungnya acara besar atau ketika peningkatan jumlah pengunjung.

Dalam perkembangan lain, Teo memuji langkah pihak pengurusan Menara Kuala Lumpur yang menambah tulisan dalam bahasa Iban dan Kadazan pada dinding sambutan (Welcome Wall) selain tulisan dalam bahasa Tamil.

Beliau berkata langkah itu mencerminkan semangat Malaysia MADANI yang meraikan kepelbagaian budaya dan bahasa tempatan.

“Apabila isu tulisan Tamil tular baru-baru ini, pihak pengurusan segera bertindak menambah baik paparan tersebut. Saya mencadangkan supaya turut menambah bahasa Iban dan Kadazan kerana kedua-duanya juga melambangkan identiti masyarakat di Sabah dan Sarawak,” katanya.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

Scroll to Top