
Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Kementerian Digital kini meneliti komponen utama bagi pembangunan dasar dan hala tuju blockchain negara, sebagai sebahagian usaha memperkukuh kecekapan, keselamatan dan ketelusan dalam sektor kerajaan, industri dan perkhidmatan kepada rakyat.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, penilaian itu penting memandangkan teknologi blockchain semakin menjadi keperluan dalam pengurusan data dan transaksi digital di peringkat nasional.
Menurutnya, kementerian melihat ruang penggunaan blockchain yang lebih luas, termasuk dalam pentadbiran kerajaan untuk mengurangkan ketirisan serta meningkatkan integriti proses.
“Kementerian Digital sedang meneliti komponen utama yang diperlukan dalam pembangunan dasar dan hala tuju blockchain negara merangkumi pengadaptasian teknologi blockchain bagi meningkatkan kecekapan, keselamatan, dan ketelusan sektor pentadbiran kerajaan, industri dan rakyat.
“Pengaplikasian teknologi blockchain menerusi tokenisasi akan turut diteliti khususnya dalam aspek pengurusan aset dan pembangunan pasaran modal bagi menjamin keselamatan transaksi dan kestabilan ekosistem digital,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjelaskan, rangka kerja kawal selia berkaitan tokenisasi aset kini sedang dibangunkan secara bersepadu oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia, bagi memastikan perlindungan pengguna serta kestabilan pasaran menjadi keutamaan.
Kementerian Digital sebelum ini menubuhkan Pasukan Kerja Dasar Blockchain Negara bagi merangka keutamaan strategik dan mengkaji impak etika, undang-undang serta sosial teknologi berkenaan.
Usaha itu dijangka menjadi asas kepada pelan hala tuju baharu selepas berakhirnya Pelan Hala Tuju Rantaian Blok Nasional 2021–2025 hujung tahun ini.

