Nasional
KUALA LUMPUR: Sebuah kereta dilaporkan terjunam ke dalam Sungai Panchor, Muar, Johor petang tadi.
Beberapa video kejadian turut tular di media sosial dan warga maya mendakwa terdapat pasangan suami isteri di dalam kereta terbabit dan mangsa dikatakan baru lepas makan di sebuah kedai.
Berdasarkan perkongsian warga maya juga, kejadian dipercayai berlaku kira kira jam 2.40 petang tadi.
Beberapa orang awam dilihat menaiki bot dan cuba menghampiri kereta terbabit yang tidak lama kemudian tenggelam ke dasar sungai.
Pasukan bomba dan polis juga sudah berada di lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
Ketua Zon 4, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Norshuhada Amsari yang dihubungi Harian Metro berkata, pihaknya belum pasti berapa orang berada dalam kereta berkenaan.
Norshuhada berkata, pihaknya belum dapat memastikan berapa ramai yang berada dalam kereta jenis Proton Saga itu berikutan pelbagai versi diterima daripada orang awam.
“Daripada maklumat awal orang awam, mereka nampak kereta itu meluru ke dalam sungai. Pada mulanya kereta itu timbul dan orang awam dengan pantas cuba membantu termasuk memecahkan cermin kereta.
“Namun, tidak lama kemudian, kereta itu tenggelam. Memang ada mangsa dalam kereta itu tapi kita tidak tahu berapa orang,” katanya.
Jelasnya, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dihantar ke lokasi untuk kerja-kerja menyelam bagi menentukan kedudukan kereta terbabit.
“Kita sudah pun mengenalpasti kedudukan kereta itu selain terdapat kesan tompokan minyak di sekitarnya,” katanya.
Sementara itu, Shuhada berkata, pihaknya menerima laporan kecemasan pada jam 2.47 petang dan menggerakkan 14 anggota dari BBP Muar dan Pagoh ke lokasi.