Nasional
Oleh: Alias Abd Rani
BATU PAHAT: Operasi memadam kebakaran sebuah kereta dikejutkan dengan penemuan mayat lelaki rentung di tempat duduk pemandu di Pantai Sungai Lurus, Senggarang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, polis menerima panggilan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit terdapat seorang mangsa rentung dalam kenderaan itu.
Siasatan awal polis mendapati rangka terbabit adalah lelaki tempatan berusia 72 tahun.
“Namun, pengesahan rasmi identiti akan dijalankan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dengan kes disiasat sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan.
Shahrulanuar berkata, polis meminta kerjasama orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian ini agar tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi Ketua Balai Polis Senggarang, Sub Inspektor Abriza Yaakub di talian 019-7275995 atau mana-mana balai berhampiran.
Dalam pada itu, pasukan bomba terpaksa menggunakan motosikal orang awam ke tempat kejadian berikutan jentera tidak dapat memasukinya disebabkan laluan sempit.
Komander Operasi Kanan Norhisam Abdul Talib berkata, tindakan awal operasi ialah menggunakan baldi untuk mengangkut air sungai berhampiran bagi memadam kebakaran.