
Oleh: Fazli Ahmad
ROMPIN: Pasangan suami isteri warga emas dikhuatiri lemas selepas kereta yang dinaiki mereka dilaporkan terjunam dan tenggelam di Sungai Rompin, berhampiran Kampung Rantau Panjang, Kuala Rompin, di sini, hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 4.55 petang.
Menurutnya, 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rompin bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan.

Katanya, peringkat awal operasi mencari dan menyelamat dilakukan menggunakan teknik pencarian di permukaan air.
“Kedalaman sungai di lokasi kejadian dianggarkan lebih tiga meter dan parasnya dilaporkan sedang meningkat akibat air pasang,” katanya ketika dihubungi.
Zulfadli berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pekan turut dikerahkan ke lokasi untuk membantu operasi mencari dan menyelamat.

Beliau juga turut memaklumkan, pasukan terbabit sudah melakukan selam skuba di lokasi untuk mengesan kereta yang dinaiki suami isteri itu, namun mangsa dan kenderaan masih belum ditemui.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif, berkata operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan.
Menurutnya, pasukan yang terlibat berdepan dengan cabaran arus sungai yang deras.
Ujarnya lagi, identiti kedua-dua mangsa yang hilang itu juga masih belum diperoleh.

