Kes seleweng dana zakat, SPRM tahan seorang lagi wanita

Nasional







KUALA LUMPUR
: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan seorang lagi wanita kerana disyaki terbabit rasuah membabitkan penyelewengan peruntukan wang zakat kira-kira RM120,000 bagi 28 pemohon yang tidak layak.

Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam empat petang semalam di Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan.

“Siasatan awal mendapati, suspek yang juga kakitangan badan berkanun disyaki bersubahat dengan salah seorang suspek wanita yang sebelum ini ditahan SPRM pada Ahad lalu.

“Suspek dipercayai bersekongkol bagi memudahkan proses permohonan Insentif Modal Perniagaan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” katanya.

Menurut sumber, suspek pertama yang ditahan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tempoh remannya tamat hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Media sebelum ini melaporkan SPRM Kuala Lumpur menahan reman seorang bekas kakitangan badan berkanun kerana disyaki terbabit rasuah sindiket penyelewengan dana bantuan peruntukan wang zakat sebanyak RM120,000 bagi 28 pemohon yang tidak layak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar juga mengingatkan warga MAIWP supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk penyelewengan wang zakat yang diamanahkan, kerana perbuatan itu bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan hidup di dunia, malah membawa padah di akhirat.

Beliau dilaporkan berkata, peringatan itu berulang kali disampaikan kepada pengerusi serta ketua pegawai eksekutif agensi berkenaan untuk difahamkan kepada semua warga MAIWP agar sentiasa amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.

Scroll to Top