Oleh: Noor Hidayah Tanzizi
PETALING JAYA: Polis sudah merakam keterangan 127 saksi bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar perempuan yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, berkata pihaknya juga akan mengambil keterangan individu lain sekiranya terdapat saksi lain yang boleh membantu siasatan.
“Sehingga kini, kita sudah merakam keterangan seramai 127 saksi bagi membantu siasatan.
“Mereka terdiri pelajar, guru, kakitangan sekolah, kaunselor, keluarga mangsa dan suspek,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga sedang menunggu laporan penuh bedah siasat kes berkenaan.
Semalam, media melaporkan polis belum dapat mengesahkan dakwaan berhubung jumlah tikaman dalam kes membabitkan seorang pelajar perempuan yang maut di sebuah sekolah di Selangor.
Shamsudin dilaporkan berkata, pihaknya setakat ini belum menerima laporan patologi berhubung kes berkenaan.
Semalam, ibu mangsa, iaitu Wong Lee Pong dalam sidang akhbar mendakwa ahli patologi memaklumkan anaknya ditikam 200 kali dan bukan 50 kali seperti yang tular di media sosial.
Selasa lalu, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun dalam kejadian di kawasan tandas perempuan di sekolah berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.