SHAH ALAM, 15 Okt (Bernama) – Remaja 14 tahun yang menikam rakan sekolah berusia 16 tahun sehingga maut di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, dekat sini semalam, meminati mangsa secara rahsia.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata suspek dikatakan “peminat rahsia” dan memendam perasaan cinta terhadap mangsa walaupun mereka berlainan kelas.
“Siasatan mendapati suspek mempunyai perasaan kepada mangsa tetapi tidak dikongsikan. Ia lebih kepada memendam perasaan. Mangsa dipercayai tidak mengetahui perasaan suspek,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata mereka daripada kelas peralihan dan suspek pelajar tingkatan satu manakala mangsa tingkatan tiga.
Selain itu, siasatan juga mendapati suspek dan mangsa tidak mempunyai hubungan atau interaksi sebelum kejadian.
“Faktor dorongan emosi dan pengaruh media sosial dikenal pasti sebagai antara punca suspek berkelakuan sedemikian,” katanya.
Ditanya sama ada suspek mempunyai masalah mental, Shazeli berkata buat masa ini pihaknya belum dapat mengesahkan keadaan kesihatan mental suspek.
Berhubung dakwaan cinta suspek ditolak mangsa seperti tular di media sosial, beliau berkata perkara itu masih dalam siasatan kerana tiada keterangan yang jelas berkenaan emosi dua pelajar tersebut.
“Kami perlu mendapatkan rujukan daripada pakar psikiatri berkenaan perkara itu, cuma mungkin keadaan emosi suspek tidak stabil semasa kejadian,” katanya.
Berhubung penemuan nota “Dunia ni palsu. Saya sudah menang” yang juga tular di media sosial, Shazeli mengesahkan nota itu ditemukan semasa suspek ditangkap.
“Ia (nota) dirampas bersama-sama suspek ketika pemeriksaan awal dijalankan dan bukan di dalam tandas tempat kejadian berlaku. Berkaitan kandungan nota, ia masih dalam siasatan lanjut polis,” katanya.
Shazeli berkata siasatan merangkumi semua aspek termasuk latar belakang suspek dan mangsa.
Beliau meminta orang ramai tidak menyebarkan nota dan gambar mangsa serta suspek kerana mereka masih di bawah umur selain siasatan sedang berjalan.
“Polis memandang serius insiden ini dan menyeru semua termasuk pihak sekolah serta masyarakat untuk bersama-sama memastikan keselamatan pelajar sentiasa terpelihara,” katanya.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial