
Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) terus berperanan sebagai pintu masuk utama ke Sabah, bukan sekadar bagi pelancong antarabangsa tetapi juga untuk sektor perniagaan, perdagangan dan perkhidmatan negeri.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata KKIA kini diiktiraf sebagai lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia dengan 14 destinasi antarabangsa melibatkan 126 penerbangan mingguan dan kapasiti lebih 22,000 tempat duduk.
Selain itu, ujarnya 472 penerbangan mingguan domestik menghubungkan Sabah dengan pelbagai bandar utama di Malaysia, menjadikan Kota Kinabalu titik tumpu utama bagi pergerakan udara di Borneo.
“KKIA bukan sekadar pintu masuk, tetapi hab ketibaan yang kritikal kepada ekonomi negeri. Naik taraf lapangan terbang ini yang disasar menampung 12 juta penumpang setahun menjelang 2028 amat penting bagi menyokong pertumbuhan sektor berasaskan perkhidmatan dan pelawat,” katanya.
Peningkatan penerbangan tingkat keyakinan pelabur dan industri

Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata, peningkatan jumlah penerbangan terus ke KKIA menunjukkan keyakinan syarikat penerbangan terhadap potensi pasaran Sabah yang semakin berkembang.
Sepanjang Januari hingga September 2025, kedatangan pengunjung ke Sabah mencecah 2.83 juta orang, terdiri daripada 1.66 juta pelawat domestik dan 1.16 juta pelawat antarabangsa.
Beliau berkata angka itu dijangka meningkat kepada 3.5 juta pengunjung menjelang hujung tahun ini, dengan hasil negeri mencecah RM6.58 bilion setakat ini.
Produk pelancongan baharu cipta pengalaman unik
Kejayaan KKIA sebagai hab udara turut merangsang kemunculan produk dan pengalaman pelawat baharu seperti perkhidmatan KK Hop-On Hop-Off, yang menawarkan lawatan sekitar bandar raya dengan konsep bebas turun dan naik di 17 hentian utama.

Pengerusinya, Datuk Tan Kok Liang berkata inisiatif itu menambah nilai kepada pengalaman pengunjung, membolehkan mereka meneroka bandar raya ini dengan cara lebih santai dan fleksibel.
“Perkhidmatan ini memberi alternatif baharu kepada pelawat, mereka boleh menikmati pemandangan bandar, kawasan tepi laut dan ikon tempatan dengan kadar tambang berpatutan. Sambutan yang baik ini tak mungkin berlaku tanpa lonjakan jumlah ketibaan di KKIA,” katanya.
KKIA permudah akses acara antarabangsa sektor MICE
Kemudahan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) semakin aktif menganjurkan pameran dan ekspo berskala besar turut memperlihatkan peranan KKIA sebagai pemangkin kepada sektor pelancongan perniagaan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) dan perdagangan serantau.

Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Dr Rosmawati Lasuki berkata penganjuran ekspo perdagangan di pusat itu tahun ini berjaya menarik 13 negara penyertaan dan 80,000 pengunjung dalam tempoh tiga hari.
Beliau berkata peningkatan penerbangan terus amat penting untuk memastikan penyertaan antarabangsa tidak terjejas oleh keperluan transit, sekaligus mempercepat urusan logistik dan menjadikan Sabah destinasi acara pilihan.
“Dengan kemudahan seperti SICC dan penambahan penerbangan langsung ke KKIA, Sabah berpotensi besar menjadi hab perdagangan dan jaringan serantau di East ASEAN, serta platform antarabangsa untuk acara besar,” katanya.
Peluang baharu, hala tuju global Sabah
Kombinasi pembangunan infrastruktur udara, produk pelancongan baharu dan penganjuran acara antarabangsa dalam sektor MICE menandakan transformasi menyeluruh ekosistem negeri ini.
Kerajaan negeri Sabah kini melihat KKIA bukan sekadar lapangan terbang, tetapi sebagai pemangkin kepada rangkaian ekonomi, perdagangan dan pelancongan yang memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab strategik di Asia Timur.
Pembangunan berterusan KKIA dan perancangan menambah penerbangan terus serta naik taraf terminal bukan sahaja meningkatkan kemasukan pelawat, tetapi turut membuka peluang pelaburan, memperkukuh jaringan serantau, dan menjadikan Sabah gerbang ekonomi baharu rantau ini.

