Dunia
WASHINGTON: Usaha ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan penutupan separa kerajaan terus menemui jalan buntu apabila Republikan dan Demokrat saling menolak rang undang-undang pembiayaan sementara buat hari kedua berturut-turut.
Dalam undian terbaru, Senat menolak dua cadangan berasingan dengan keputusan hampir sama seperti sehari sebelumnya.
Cadangan Republikan untuk melanjutkan dana kerajaan sehingga 21 November ditolak dengan keputusan 55 undian. Walaupun dua Senator Demokrat, John Fetterman (Pennsylvania) dan Catherine Cortez Masto (Nevada) serta seorang bebas, Angus King (Maine) menyokong usul tersebut.
Sementara itu, cadangan Demokrat yang mengaitkan lanjutan dana kerajaan dengan tambahan perbelanjaan kesihatan sebanyak AS$1.5 trilion turut gagal selepas menerima 47 undian menentang, dengan semua Republikan kekal menolaK, lapor Al Jazeera.
Kebuntuan ini berlaku ketika Presiden AS, Donald Trump, mula melaksanakan janji untuk mengenakan tekanan terhadap Demokrat berhubung isu penutupan kerajaan.
Pengarah Bajet White House, Russell T Vought, mengumumkan pentadbiran akan membekukan dana infrastruktur bernilai AS$26 bilion yang diperuntukkan untuk negeri-negeri dikuasai Demokrat.
Beliau berkata, pembekuan itu termasuk AS$18 bilion bagi projek pengangkutan di New York City, dengan alasan dana tersebut tidak boleh disalurkan berasaskan apa yang digelarnya prinsip DEI (kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman) yang ditentang keras oleh konservatif.
Penutupan separa ini telah menyebabkan sebahagian perkhidmatan kerajaan terhenti, manakala pekerja penting terpaksa bekerja dengan gaji akan dibayar kemudian. AGENSI