Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (dua, kiri) bergambar dengan poster anti buli pada Kempen Jelajah Anti Buli di Yayasan Aman hari ini.
BUKIT MERTAJAM, 5 Okt (Bernama) — Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan secara menyeluruh termasuk mempersiapkan pasukan perubatan semasa penganjuran aktiviti atau perlawanan sukan di sekolah.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata langkah itu bagi memastikan insiden kematian pelajar ketika Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan 2025 pada Jumaat lepas, tidak berulang.
“Sebenarnya anak-anak telah pun diingatkan mengenai aspek kesihatan dan laporan kesihatan juga telah kita minta daripada ibu bapa, serta maklumkan kepada kita (pihak sekolah).
“Jadi untuk ke hadapan ini, tumpuan kita adalah soal keselamatan secara keseluruhan, maknanya bergantung kepada jenis sukan itu dan kemudian persiapan pasukan perubatan dalam konteks setiap perlawanan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Jelajah Anti Buli di Yayasan Aman, di Penanti di sini hari ini.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) juga sentiasa mengingatkan pelajar dan jurulatih tentang aspek keselamatan yang perlu diberi perhatian berterusan.
Semalam, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan seorang pelajar Tingkatan Empat, Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba ketika hendak memasuki padang bagi memulakan perlawanan separuh masa kedua dalam kejohanan itu.
Beliau berkata hasil bedah siasat oleh Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun ke atas mangsa mendapati punca kematian akibat pendarahan dalaman otot pinggul kanan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata KPM masih menunggu arahan atau saranan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung kewajipan pemakaian pelitup muka di sekolah berikutan jangkitan influenza yang dikatakan meningkat.
“Kalau ada nasihat atau arahan daripada KKM, kita akan ikut. Setakat ini, tiada masalah di peringkat kami untuk melaksanakan apa-apa saranan atau syor daripada KKM,” katanya.
Sebelum ini, tular dakwaan beberapa sekolah mewajibkan pelajar memakai pelitup muka bagi mengekang penularan influenza termasuk di Pulau Pinang walaupun Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi melaporkan kes jangkitan influenza di Pulau Pinang masih berada pada tahap terkawal.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial