Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad ketika ditemui pemberita selepas meninjau pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(1) hari ini. –fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
PUTRAJAYA, 25 Nov (Bernama) — Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyiasat dakwaan berhubung penjualan kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang didakwa bocor.
Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad, berkata walaupun tiada laporan rasmi diterima, pihaknya menyedari dakwaan yang tular di media sosial beberapa hari lepas.
“Ini dalam tindakan Lembaga Peperiksaan dan saya yakin mereka ada prosedur yang betul,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11 (1) di sini hari ini.
Sebelum ini, beberapa tangkap layar tular menunjukkan pihak tertentu menawarkan soalan SPM yang didakwa bocor dengan harga serendah RM499 bagi setiap mata pelajaran, disertai jaminan pengembalian wang sekiranya calon tidak memperoleh keputusan cemerlang.
Dr Azam menegaskan bahawa kertas soalan SPM berada dalam kawalan yang ketat dengan semua prosedur keselamatan peperiksaan dipatuhi, termasuk di negeri yang terjejas bencana banjir.
“Kita sudah mula mengambil tindakan dan sedang menentukan lokasi simpanan kertas soalan. Setidak-tidaknya kita letakkan di lokap-lokap balai polis,” katanya.
Seramai 413,372 calon menduduki SPM 2025, meliputi calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama bantuan kerajaan termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja, sekolah menengah agama negeri, sekolah swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan, sekolah menengah agama rakyat dan calon persendirian.
Hari ini jadual SPM 2025 bermula dengan peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 yang bermula 8.15 pagi, disusuli Pendidikan Seni Visual (Teori Seni Kertas 1) pada 11.45 pagi dan Bahasa Melayu Kertas 2 pada 2.30 petang.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

