
Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkenalkan pendekatan baharu melalui Pakej KASIH MADANI 2.0 bagi memperkukuh peranan bapa sebagai tonggak utama dalam pembentukan keluarga sejahtera.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata komponen Modul Kebapaan dalam pakej itu diwujudkan bagi menggalakkan golongan bapa memahami peranan mereka sebagai pemimpin keluarga serta berkongsi tanggungjawab dalam memastikan kesejahteraan rumah tangga.
Menurutnya, peranan membina keluarga bahagia bukan lagi terhad kepada ibu semata-mata, sebaliknya bapa turut perlu menunjukkan teladan dan penglibatan aktif dalam kehidupan seharian keluarga.
“Kita mahu mereka (bapa) memainkan peranan penting dalam kepimpinan. Bagi mereka, dia (bapa) ketua keluarga, tetapi yang menjalankan tugasan lain di rumah ialah ibu.
“Jika suami hanya mengharapkan isteri untuk melakukan semua tugas penting, hal ini tidak betul kerana memerlukan tanggungjawab bersama. Bukannya tentang bertukar peranan, tetapi tentang mengimbangi peranan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2025 di sini, hari ini.
Tambahnya, pakej berkenaan turut memberikan tumpuan kepada aspek nilai murni dan pembentukan sahsiah dalam kalangan ibu bapa selain membantu pasangan yang belum dikurniakan zuriat melalui program kesedaran dan rawatan kesuburan, khususnya kepada golongan suami.
Pakej KASIH MADANI 2.0 dibangunkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan penglibatan para akademik serta pakar rujuk bidang kekeluargaan termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pakej itu merangkumi dua modul utama, iaitu Modul Romantika Cinta untuk pasangan yang baru mendirikan rumah tangga dan Modul Kebapaan khusus bagi golongan bapa.

