KPWKM, JPA bincang kuota 1 peratus OKU di sektor awam

Nasional

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri. – Foto fail

Oleh: Ercy Gracella Ajos

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi meneliti semula serta memperkukuh usaha mencapai kuota satu peratus pengambilan pekerja dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) di sektor awam.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata sasaran itu masih belum berjaya dicapai dan menegaskan kuota berkenaan bukan sahaja menjadi sasaran kementerian, malah komitmen nasional.

“Kita sudah berbincang dengan JPA untuk mengemas kini (data) supaya mereka tahu bahawa kita masih belum mencapai (sasaran satu peratus itu masih belum dicapai),” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Nancy menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berhubung strategi kementerian memastikan sasaran satu peratus pengambilan OKU dalam sektor awam tercapai, selain pertimbangan meneliti model pentadbiran luar negara.

Pada 12 November tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, dilapor memaklumkan seramai 92 individu OKU diambil bekerja dalam sektor awam, iaitu hanya 0.36 peratus daripada keseluruhan 25,520 kekosongan perjawatan kerajaan yang diisi pada 2023.

Namun begitu, Nancy berkata, kementeriannya kini hampir mencapai kadar pengambilan OKU sebanyak dua peratus.

Scroll to Top