KSN Teliti Cadangan Kabinet Berhubung Kod Etika Pakaian Di Fasiliti Kesihatan, Keselamatan

 AM > BERITA

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ketika sidang media selepas sesi Dewan Negara di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini. –fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) — Ketua Setiausaha Negara (KSN) akan meneliti cadangan Jemaah Menteri berhubung pengecualian kod etika pakaian bagi perkhidmatan barisan hadapan seperti fasiliti kesihatan dan keselamatan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata mesyuarat Kabinet hari ini mencadangkan supaya beberapa perkhidmatan barisan hadapan, termasuk balai polis dan premis kerajaan tertentu, diberi pengecualian daripada Surat Pekeliling KSN bertarikh 1 Dis 2020.

Beliau berkata cadangan itu susulan isu tular melibatkan seorang individu yang tidak dibenarkan memasuki balai polis untuk membuat laporan kerana pakaian yang tidak mematuhi etika ditetapkan.

“KSN akan meneliti pekeliling berkenaan dan melakukan beberapa penambahbaikan. Kenyataan lanjut serta pekeliling baharu akan dikeluarkan selepas penelitian selesai,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan MADANI, menegaskan pandangan Perdana Menteri bahawa tiada halangan wajar dikenakan terhadap individu yang ingin membuat laporan polis dalam situasi keselamatan.

Semalam, Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata seorang wanita tidak dibenarkan memasuki pekarangan sebuah ibu pejabat polis daerah (IPD) pada Isnin lalu kerana melanggar etika berpakaian yang ditetapkan di premis kerajaan.

Wanita berusia lingkungan 20-an itu datang bersama ibunya untuk membuat laporan kemalangan jalan raya namun tidak dibenarkan masuk kerana skirt yang dipakai lebih pendek daripada paras lutut.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

 KATA KUNCI

 BERITA BERKAITAN

 LAGI BERITA

Scroll to Top