Kurang 500 rakyat Malaysia masih terkandas di Hatyai, operasi menyelamat diteruskan pagi ini – Mohamad Hasan

Nasional

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan

Oleh: Zanariah Abd Mutalib

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar memaklumkan kurang 500 rakyat Malaysia dianggar masih terkandas di Hatyai, Thailand sehingga pagi ini susulan banjir teruk yang melanda kawasan itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata hari ini seramai 177 lagi rakyat Malaysia diselamatkan dengan operasi menyelamat akan terus disambung pagi ini.

“Lebih 700 orang berjaya dipindahkan dari Hatyai ke Bukit Kayu Hitam, termasuk mereka yang sudah berada di pusat mangsa banjir sementara.

“Sehingga semalam, Jabatan Imigresen merekodkan 2,204 rakyat Malaysia yang menyeberangi sempadan di Bukit Kayu Hitam, Durian Burung dan Wang Kelian,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai usaha segera kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Selatan Thailand susulan banjir yang berlaku, selain langkah pencegahan bagi memastikan rakyat Malaysia lain tidak menghadapi situasi yang sama.

Scroll to Top