Lelaki Cederakan Jurujual Guna Pisau Pemotong Daging Ditahan

IPOH, 20 Nov (Bernama) — Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan mencederakan seorang jurujual menggunakan pisau pemotong daging di sebuah premis di Jalan Bandar Timah dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata lelaki berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira 11.45 pagi hasil daripada maklumat orang awam.

“Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, jurujual berusia 49 tahun berkenaan telah didatangi suspek dari arah belakang dan terus menoreh belakang badannya dengan menggunakan sebilah pisau. 

“Suspek terus meminta wang daripada mangsa, namun apabila jurujual itu memberitahu tidak mempunyai wang, suspek terus mengambil tukul di pintu masuk kedai dan memecahkan cermin sebuah lori milik syarikat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata rakan jurujual berkenaan telah menjerit kepada suspek, lalu suspek telah membaling tukul ke arah rakan jurujual itu yang kemudian terkena pada kaki kanan.

Abang Zainal Abidin berkata suspek terus melarikan diri, lalu jurujual terbabit bersama dua rakannya telah mengejar suspek dan mendapati suspek mengambil sebilah pisau pemotong daging di sebuah restoran berhampiran lalu melarikan diri. 

“Suspek telah masuk ke dalam sebuah kedai emas di Little India dan jurujual itu menghalangnya daripada melarikan diri. Pekerja kedai emas kemudian telah menghubungi pihak polis,” katanya.

Beliau berkata jurujual itu mengalami luka dan calar serta tidak pernah mengenali atau bertemu dengan suspek sebelum ini.

Hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak bekerja dan mempunyai lapan rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

Suspek yang positif dadah jenis methamphetamine, katanya akan direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 34 saat memaparkan seorang lelaki memegang sebilah pisau pemotong daging dan berdiri di hadapan sebuah kedai emas.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

 KATA KUNCI

 BERITA BERKAITAN

 LAGI BERITA

Scroll to Top