Oleh: Omar Ahmad
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang sedang dibicarakan atas kes penculikan seorang kanak-kanak perempuan dan pernah mengaku bersalah atas lima pertuduhan memiliki pornografi kanak-kanak, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan lain pada 14 September lalu.
Tertuduh, Leang Win Son, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Madihah Zainol.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun sembilan bulan di dalam tandas sebuah kopitiam di Taman Iris, Kulai, kira-kira jam 7.30 malam pada tarikh kejadian.
Kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin, mencadangkan tertuduh tidak diberi ikat jamin kerana masih berdepan perbicaraan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 7 Ogos lalu atas pertuduhan menculik kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, pengurungan salah serta kesalahan seksual mengikut akta sama. Kes itu dijadualkan bersambung pada 6 dan 7 Oktober depan.
Pendakwaan memaklumkan tertuduh juga pernah dituduh mengikut Seksyen 10 akta sama kerana memiliki bahan pornografi kanak-kanak dan sudah mengaku bersalah atas lima pertuduhan pilihan pada Julai lalu. Kesalahan yang dilakukan disifatkan serius dan berat dengan risiko tinggi untuk berulang sekiranya ikat jamin dibenarkan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Zafirah Norizan, yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan serta merujuk tertuduh ke hospital psikiatri bagi pemeriksaan mental.
Beliau memaklumkan tertuduh hanya bekerja membantu ibunya dengan pendapatan RM50 sehari dan memberi kerjasama baik sepanjang kes terdahulu, termasuk membayar ikat jamin keseluruhan kesnya sebanyak RM60,000.
Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan jaminan dengan mengambil kira kepentingan awam memandangkan mangsa adalah kanak-kanak, dan menetapkan 6 Oktober depan untuk sebutan semula kes serta keputusan berhubung permohonan pemeriksaan mental.