Lelaki memandu secara melulu di Lebuhraya Sungai Besi disiasat – Polis

Oleh: Fareez Azman

KUALA LUMPUR: Lelaki yang memandu sebuah kenderaan secara melulu dan berbahaya di Lebuhraya Sungai Besi, seperti tular di media sosial hari ini, sedang disiasat pihak berkuasa.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, lelaki berusia 32 tahun itu telah hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pagi tadi.

“Pemandu kenderaan berkenaan, iaitu seorang lelaki berumur 32 tahun, telah hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada 23 November 2025, lebih kurang jam 10.30 pagi.

“Proses siasatan sedang dijalankan termasuk ujian saringan air kencing dan ‘Evidential Breath Analyzer’ (EBA), yang juga akan dilakukan terhadap individu itu.

“Alasan pemandu, tayar pecah akibat terlanggar lubang dan memandangkan kediamannya dekat, maka pemandu meneruskan perjalanan pulang ke rumah,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Pihaknya juga mengesan video tular di media sosial sejak semalam.

Hasil siasatan mendapati, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8 pagi ketika kenderaan dipandu lelaki berkenaan melalui Lebuhraya Sungai Besi menuju ke arah Taman Naga Emas.

“Hasil semakan awal mendapati kejadian berlaku pada 22 November 2025, lebih kurang jam 8.00 pagi, apabila sebuah kereta jenis Range Rover Velar dikesan dipandu dengan tayar belakang sebelah kanan dalam keadaan pecah serta hancur dan masih bergerak di atas jalan.

“Pergerakan berbahaya kenderaan berkenaan turut dirakam oleh seorang penunggang motosikal, sebelum kenderaan itu berhenti di kawasan persimpangan lampu isyarat Jalan Kuchai Maju,” katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Terdahulu, video tular berdurasi satu minit itu memaparkan kenderaan terbabit melanggar pembahagi jalan dan dipandu secara melulu, sebelum ditahan seorang penunggang motosikal yang menasihatkan lelaki berkenaan supaya berhenti memandu.

Scroll to Top