Nasional

Oleh: Noor Hidayah Tanzizi
BENTONG: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di rumahnya di Chegar Medang Benus, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan Mohd Taib Ismail, 69, pada 12.11 tengah malam daripada isterinya.
Menurutnya, mangsa yang berbadan kurus, dengan ketinggian 165 sentimeter dan berat anggaran 55 hingga 60 kilogram, kali terakhir dilihat di No 115 Chegar Medang Benus, di sini.
“Lelaki warga emas itu memakai baju t-shirt berwarna biru muda dan berseluar panjang warna hitam (sebelum dilaporkan hilang),” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung warga emas berkenaan untuk tampil di mana-mana balai polis berhampiran.
“Orang ramai boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2231999 atau mana-mana balai polis di bawah pentadbiran IPD Bentong seperti Balai Polis Bentong di talian 09-2222222 dan lain-lain,” katanya.

