Lelaki warga India ditemui maut, dikhuatiri dibaham buaya di Kuala Tutoh

Nasional

Oleh: Kadir Edison

MIRI: Seorang lelaki warga India yang dikhuatiri lemas di Sungai Kuala Tutoh, Baram sejak Rabu lalu, ditemui maut pagi tadi dengan bahagian tangan kiri hilang, dipercayai akibat dibaham buaya.

Mangsa dikenali sebagai Prashant, 21, dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam sungai berkenaan, sebelum panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima sekitar jam 7.55 malam, 5 November lalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua hari ini, dengan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi melakukan pencarian menyusuri sungai menggunakan bot.

“Hasil pencarian, mangsa berjaya ditemui pada jam 9.30 pagi, kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Pasukan SAR mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membawa mayat mangsa ke dermaga dari lokasi penemuan.

Bagaimanapun, keadaan rangka tubuh mangsa menimbulkan kebimbangan kemungkinan terdapat unsur serangan reptilia itu apabila keseluruhan tangan kirinya didapati hilang.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Scroll to Top