Mahkamah

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Malaysia berusia 38 tahun disabitkan kesalahan di Singapura, atas tuduhan menipu dan memeras ugut wanita, selepas menyamar sebagai ‘sugar daddy’ dalam talian.
Tertuduh memerangkap mangsa dari Singapura hingga Malaysia, dengan memeras ugut lebih S$183,000 (RM583,638).
Rajwant Singh menghadapi 16 pertuduhan tetapi disabitkan atas empat, termasuk menipu untuk mendapatkan seks dan peras ugut.
Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara 13 tahun serta 15 sebatan rotan.
Rajwant mensasarkan wanita di platform temu janji seperti Tinder, berpura-pura menjadi lelaki kulit putih kaya yang tinggal di atas kapal layar di Malaysia.
Selain memaksa mangsa untuk tidur dengannya, dia juga mengancam untuk menyebarkan video lucah, melainkan mereka memindahkan wang atau memberikan bentuk ganjaran lain.
Rajwant ditahan dalam operasi bersama oleh Pasukan Polis Singapura dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dia mengakui rancangannya dalam 16 kenyataan, mendakwa dia memerlukan wang untuk menyara keluarganya, tetapi tidak menunjukkan sebarang penyesalan semasa perbicaraan.
Hakim menangguhkan hukuman sehingga Januari tahun depan.

