
Oleh: Ilah Hafiz Aziz
KUALA LUMPUR: Majlis Peguam akan mengambil tindakan termasuk mengemukakan aduan tatatertib terhadap firma guaman yang didakwa terbabit dalam perbuatan rasuah membabitkan urusan pembiayaan pinjaman bank, beberapa hari lalu.
Dalam kenyataan hari ini, Majlis Peguam memaklumkan pihaknya memberi perhatian terhadap kes membabitkan 10 pegawai dan bekas pegawai bank atas tuduhan menerima rasuah daripada firma guaman berkenaan.
“Majlis Peguam mengambil tindakan yang sewajarnya, termasuklah mengemukakan aduan tatatertib.
“Rasuah tiada tempat dalam profesion guaman dan kami akan bertindak untuk melindungi integriti profesion guaman dan kepercayaan yang diberikan oleh orang awam,” menurut kenyataan itu di Facebook, hari ini.
Beberapa hari lalu, media melaporkan 10 pegawai dan bekas pegawai bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah daripada beberapa firma guaman sebagai balasan mencadangkan mereka sebagai penyedia dokumen pembiayaan perumahan.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Di Mahkamah Sesyen 1, enam tertuduh didakwa secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin atas pertuduhan menerima rasuah daripada firma guaman Erifarizan & Hilyatu serta Tan Norizan & Associates.
Empat daripada mereka, Siti Zuraida Mohd Zulkifli, 39; Hazrina Ghazali, 37; Zaiton Nasir, 29; dan Tharani Manivasagam, 34, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan masing-masing berjumlah RM2,100; RM5,029; RM4,555 dan RM22,980.
Manakala dua lagi tertuduh iaitu Nor Azlina Yahaya, 34, dan Dayana Intan Shazwani Salbani, 35, mengaku bersalah atas sembilan dan 11 pertuduhan masing-masing membabitkan RM14,594 dan RM19,211.
Hakim menjatuhkan hukuman denda RM45,000 terhadap Nor Azlina dan RM50,000 terhadap Dayana.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nidzuwan Abd Latip dan Nurul Izzati Sapifee serta Pegawai Pendakwa (PO) Mohamad Safari Abdullah.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 2, empat lagi tertuduh didakwa secara berasingan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud dengan tiga mengaku bersalah dan seorang mengaku tidak bersalah.
Kong Tzu Mei, 39, mengaku bersalah atas empat pertuduhan menerima suapan RM15,040 daripada firma guaman Arizal Jailani & Co antara Disember 2019 hingga Mac 2022 dan dikenakan denda RM28,000.
Rose Irnieda Mohamed, 45, turut mengaku bersalah atas satu pertuduhan menerima RM2,183 daripada Erifarizan & Hilyatu pada April 2019 dan dikenakan denda RM4,000. Koid Beng Seng, 34, pula mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan pilihan membabitkan RM17,520 daripada Tan Norizan & Associates antara Februari 2022 hingga Februari 2023 dan dihukum denda keseluruhan RM31,000.
Dalam prosiding sama, Mohd Arif Syafiq Jamalludin, 35, mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan menerima RM13,320 daripada firma guaman Tan Norizan & Associates antara Februari hingga Oktober 2022.
Hakim menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Februari 2026.
Pendakwaan dikendalikan TPR Nurul Izzati Sapifee serta Fatin Farhana Ismail, Mohd Hanafi Firdhaus Abd Latif dan Mohd Yasri Yahya.

