Nasional

KUALA LUMPUR: Malaysia akan meneroka kerjasama dengan Palang Merah Kenya melalui latihan, pembangunan kapasiti dan perkongsian kepakaran bagi memastikan tiada komuniti tercicir ketika menghadapi bencana dan krisis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu dizahirkan ketika beliau menerima kunjungan Setiausaha Agung Palang Merah Kenya (Kenya Red Cross), Dr. Ahmed Idris.
Menurut Anwar, pertemuan itu memberi peluang kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pengurusan krisis, perlindungan masyarakat rentan dan memperkukuh kesiapsiagaan bencana.
“Dalam pertemuan ini, kami bertukar pandangan terkait peranan Palang Merah Kenya dalam melindungi masyarakat rentan, mengukuhkan kesiapsiagaan bencana serta memperbaiki rangka kerja dasar bagi menghadapi cabaran kemanusiaan yang semakin kompleks, ujarnya menerusi hantaran di Facebook.
Perdana Menteri juga menyatakan bahawa Palang Merah Kenya merupakan institusi berpengaruh dan dihormati, termasuk dalam komuniti Islam, serta menjadi platform mempromosikan nilai kemanusiaan dan ihsan secara berkesan.
“Usaha sama ini diharap memberi manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara serta memperkukuh kemanusiaan sejagat,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Dr. Ahmed Idris atas dedikasi memajukan agenda kemanusiaan di Kenya dan rantau Afrika.
Anwar juga memaklumkan, Malaysia sentiasa percaya bahawa kekuatan sebuah negara bukan hanya dinilai melalui pembangunan fizikal, sebaliknya melalui komitmen menjunjung nilai belas ihsan, keadilan dan maruah insan.

