Malaysia sasar kedudukan 20 terbaik dunia Indeks Inovasi Global

Nasional

Perdana Menteri ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Sains Negara, hari ini. – Foto PMO

KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan kedudukan dalam kelompok 20 negara terbaik dunia dalam Indeks Inovasi Global (GII) menerusi pelaksanaan strategi khusus yang bakal melibatkan penyelarasan rentas agensi secara lebih berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sasaran itu penting dalam usaha memperkukuh daya saing negara sebagai ekonomi berteknologi tinggi, seiring aspirasi Malaysia MADANI menjelang 2030.

Beliau berkata, mesyuarat Majlis Sains Negara yang dipengerusikannya hari ini turut memberi tumpuan kepada penambahbaikan pembiayaan dana Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bagi memastikan penyampaian lebih cekap serta berimpak tinggi.

“Indeks ini menjadi panduan kepada kerajaan, industri dan pembuat dasar dalam merangka keputusan strategik untuk memastikan Malaysia muncul sebagai negara berteknologi tinggi berteraskan nilai MADANI menjelang 2030,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurut Perdana Menteri, kerjasama awam–swasta dilihat sebagai pemangkin utama kepada pembangunan inovasi negara, selaras Dasar STI Negara 2021–2030 yang berhasrat mengubah Malaysia menjadi negara pembangun teknologi.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kepentingan penyelarasan agenda penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berorientasikan misi agar tidak bergerak bersendirian.

Scroll to Top