MCMC Laksana Segera Hasrat Perdana Menteri Perkukuh Keselamatan Data Negara – Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan segera hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperkukuh keselamatan data negara melalui pelaksanaan dasar Sovereign AI Cloud atau pengkomputeran awan kecerdasan buatan (AI) berdaulat.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu akan dilaksanakan dengan panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Digital dan Jabatan Digital bagi memastikan kawalan dan pengurusan data strategik negara lebih terjamin.

“Ia mengambil kira perubahan dasar di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, di samping menjamin ekosistem keselamatan data yang lebih kukuh termasuk maklumat terperingkat berdasarkan Akta Rahsia Rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Forum Menteri: Kesan Kecerdasan Buatan terhadap Tenaga Kerja Masa Hadapan bersempena dengan International Young Future Leaders Summit (iFuture) 2025 yang turut menampilkan Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Fahmi berkata Sovereign AI Cloud akan menjadi satu tonggak utama dalam melindungi data kerajaan dan maklumat sensitif daripada ancaman siber serta memastikan tadbir urus digital negara kekal berdaulat.

Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada Jumaat lepas mengumumkan bahawa Sovereign AI Cloud akan dibina oleh MCMC dengan pelaburan RM2 bilion.

Sementara itu, berhubung dengan permintaan Kementerian Pendidikan (KPM) supaya MCMC menurunkan video berkaitan kes rogol pelajar yang tular menerusi media sosial baru-baru ini, Fahmi berkata MCMC akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara terbabit.

Pada masa sama, beliau turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati dalam perkongsian kandungan di platform digital mengenai perkara itu.

“Kita perlu sentiasa berhati-hati. Sekiranya sesuatu kandungan melanggar undang-undang seperti Akta Kanak-Kanak, Akta Komunikasi dan Multimedia atau Kanun Keseksaan, tindakan boleh diambil terhadap mereka yang menyebarkannya,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata tindakan itu diambil bagi memastikan video berkenaan tidak terus disebarkan kerana membabitkan aib pelajar terbabit yang disyaki berlaku di sebuah sekolah di Melaka pada 2 Okt lepas.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

Scroll to Top